Dalam salah satu point yang ditekankan dalam buku Mendakwahi orang tua iaitu ‘dakwah famili menjamin efektivitas dakwah kita untuk masyarakat umum’. Masing-masin g tidak dapat menyangkal hakikat itu, andai dakwah kita terhadap keluarga berjalan dengan lancar, InsyaAllah kita tidak berdepan dengan banyak masalah untuk berdepan dengan komuniti masyarakat lantaran kerana dakwah famili cukup sukar.
Ini kerana keluarga kita adalah cerminan kita sendiri, mereka sangat kenal siapa diri kita kerana hampir seluruh dari usia kita akan berdepan dengan mereka. Menjelang cuti semester, bagi aktivis dakwah yang masih menuntut di universiti cuti semester akan dihabiskan di rumah. Kelak tatkala kita telah bekerja, rumah tetap akan menjadi persinggahan kita. Begitu juga kelak kita menikah, rumah orang tua tetap juga kita tuju walau tidak sekerap ketika hidup membujang. Oleh kerana kekerapan kita berhadapan keluarga menyebabkan mereka melihat setiap inci perlakuan kita. Kadang kita tidak perasan, orang lama yang lebih dulu makan garam dari kita pandai mentafsir setiap perlakuan kita sama ada tersirat apatah lagi yang tersurat.
Oleh kerana itu, amat penting untuk kita berhati-hati dalam setiap apa yang kita lakukan agar tidak membawa imej yang buruk untuk dakwah yang kita sedang dokong. Bagaimana kita hendak bersikap dengan keluarga agar kualiti dakwah kita di rumah setimpal dengan kualiti dakwah di kampus. Pertama kita hendaklah sama-sama mengikhlaskan niat semata-mata hendak mencari keredhoan Allah semata. Kita buat kerja dakwah bukan kerana medan, kita berbuat semata-mata untuk meraih kedudukan tertinggi di sisi Allah iaitu cinta dan redhoNya. Kegencaran perjalanan kerja dakwah kita sepatutnya berkesinambungan hingga akhir hayat kita. Buat kerja dakwah tiada cuti. Kerja dakwah tiada cuti semester, tiada cuti pertengahan semester dan tiada cuti-cuti khas keputeraan siapa-siapa. Kerja dakwah bukan tertakluk hanya di kampus. Medan di kampus hanya medan latihan untuk kita berdepan dengan medan yang lebih serius dan sebenar iaitu bedepan masyarakat umum. Lantaran itu, tidak hairanlah organisasi masing-masing tidak hanya sekadar memfokus kepada dakwah kampus, tetapi sebaliknya kita ada dakwah luar kampus dan lujnah kemajuan ummah.
Kita hendaklah mengemaskini kembali siapa sebenarnya mad’u kita yang ’urgent and impotrant’ sekarang. Ibubapa kita tentu sekali letak di tingkap yang pertama kalau dalam Tetingkap Jauhari. Kalau kita tidak merasakan ibubapa kita sebagai mad’u kita sendiri maka kita tak akan merasakan bagaiman seorang murobbi harus berdepan dengan mad’u dia. Sebagaimana kita menjaga izzah di depan anak halaqoh, begitulah selayaknya kita menjaga izzah di hadapan ibubapa dan adik-beradik kita. Sebagaimana kita mengharapkan anak halaqoh berkongsi masalah dengan kita, begitulah kita mengharapkan ibubapa kita berkongsi masalah keluarga mahu pun masalah peribadi dengan kita. Andai mereka sanggup berkongsi rasa hati dengan kita itu menandakan mereka semakin mempercayai kematangan kita. Begitu juga, sebagaimana kita berusaha untuk menyelesaikan masalah dan membantu anak halaqoh tatkala dirundung dengan musibah, begitu juga kita merasa ringan tulang untuk membantu menyelesaikan tugasan rumah untuk meringankan bebanan orang tua tanpa mengharapkan sekelumit upah.
Kita hendaklah sentiasa bersikap lembut dengan mereka kerana dalam buku Profil Murobbi karangan Hamid al-Bilali, lemah-lembut adalah antara karakter penting yan perlu ada pada seorang murobbi. Andai ibubapa kita marah kerana kita kerap keluar program kita sepatutnya membalasnya sama ada berdiam diri atau bermuka manis. Jangan kita tetap berkeras dengan mereka kerana ia hanya akan menyerlahkan keaiban diri kita. Paling penting, walau seteruk mana keluarka kita, jangan kita melelong cerita-cerita keluarga yang hanya memunggah keaiban keluarga hingga menjadi bahan sembang sesama akhwat kecuali untuk memotivasi akhwat lain dan kepada murobbiyah kita.
Jika ada amal-amal Islami di rumah, biarlah kita menjadi orang yang pertama-tama sekali mendahului. Sebagai contoh, kita jangan tunggu dileteri ibu untuk berangkat menunaikan solat, ibu kita tiada alasan untuk mempertikai mengapa kita tidak berpuasa lantaran kita tidak pernah tertinggal untuk puasa sunat Iani dan Khamis, jangan tunggu ibu kita membangkitkan kita untuk solat Suboh.
Kita juga hendaklah membangkitkan roh amal Islami di rumah. Setiap kali selepas menunaikan solat Maghrib, kita akan gemakan rumah dengan bacaan suci ayat al-Quran. Jangan baca dalam bilik. Baca di ruang tamu atau depan tv, kita monopoli tv agar adik-adik kita tidak buka tv dan menonton siaran kartun. Tetapi sekali lagi, kita perbetulkan niat, bukan kerana riak atau apa-apa. Kemudian, kita besarkan hati kedua orang kia dengan melakukan amal baik yang paling mereka suka. Sebagai contoh, ayah kita paling suka kalau kita meluangkan masa mengajar tuisyen untuk adik-adik kita. Jadi, kita ambil berat pelajaran adik-adik kita. Kalau kita mampu, kita isi masa lapang kita dengan membantu kedua ibubapa kita bekerja. Ayah ana mengambil kontrak buat rumah PPRT, jadi ana tolong ayah mengecat. Walaupun penat, tapi kita lakukan apa yang kita mampu semaksimum mungkin untuk memuaskan hati mereka.
Akhir sekali, kita sama-sama panjatkan doa agar Allah memberikan taufik dan hidayah untuk kedua ibubapa kita. Niatkan setiap kayuhan basikal, ayunan langkah kita ke medan jihad, duit poket yang diperbekal moga sama-sama mengantarkan mereka ke pintu syurga. Wa’ allahua’lam.
Wednesday, October 10, 2007
Nusaibah opinion about 'BAGAIMANA MELATIH AKHWAT BERSIKAP DENGAN FAMILY SUPAYA KUALITI DAKWAH DI KAMPUS SAMA DENGAN KUALITI DAKWAH DI RUMAH'
Posted by Nusaibah at 9:33 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment